Thursday, November 13, 2008

Pas gesa bebaskan Manoharan

Sinar Harian (13/11/08): Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub menjelaskan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M Manoharan sepatutnya dibebaskan serta-merta daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Salahuddin, tiada sebab untuk Manoharan ditahan di bawah akta tersebut dan sekiranya beliau bersalah sekalipun, beliau perlulah dibicarakan di mahkamah seadil-adilnya secepat mungkin.

“Kalau betul dia bersalah, mereka perlu membuktikan yang dia bersalah dan itu merupakan kaedah yang terbaik dalam Islam dan secara universal sekalipun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Salahuddin berkata demikian sebagai mengulas kegagalan rayuan ADUN itu untuk kali ketiga agar dibebaskan sejak ditahan di bawah ISA pada 13 Disember 2007.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, jika dilihat perkembangan tahanan ISA terdahulu seperti penulis blog Malaysiakini, Raja Petra Kamaruddin dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, semuanya dibebaskan.

“Sebenarnya mereka (kerajaan) takut untuk membebaskan beliau kerana untuk kes yang sebelum ini, pesalah ISA semuanya dibebaskan dan untuk kes ini hakim masih berpihak pada kerajaan dan kami akan pastikan malah memberi tekanan kepada mereka supaya beliau dibebaskan.

“Saya percaya untuk rayuan Manoharan seterusnya selepas ini, pasti beliau akan dibebaskan,” katanya.

0 comments:

22 Ahli Parlimen PAS


Ihsan MS Abu Sahid

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP